Thursday 4 April 2024

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

5 April 2024 / 25 Ramadan 1445H

Pengampunan dan Kemaafan Seorang Hamba

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya, dan tinggalkan segala tengahan-Nya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan ketakwaan kepada kita hasil daripada ibadah yang kita laksanakan sepanjang bulan Ramadan ini. Amin.  

Para jemaah sekalian,

Pejam celik, pejam celik, kini kita sudah pun bertemu dengan Jumaat terakhir bulan Ramadan tahun ini. Terlalu pantas rasanya masa berlalu. Maka penuhkanlah baki waktu yang ada untuk benar-benar meraih segala hadiah istimewa yang dijanjikan Allah untuk kita di dalam bulan yang mulia ini. Dan antara hadiah yang paling utama itu, ialah pengampunan-Nya di atas segala dosa yang telah kita lakukan.

Dunia ini penuh dengan ujian, saudara. Kilauan perhiasannya yang menggoda membuat ramai manusia leka, sehingga tidak mampu mengawal nafsu yang selalu bergelora. Maka setiap kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa.  Apabila dibiarkan dosa itu bertimbun di dalam diri, kita menjadi resah dan jiwa penuh gelisah. Kita mengetahui bahawa dosa yang dibiarkan dan tidak dibersihkan akan hanya membawa kita mendekati azab Allah di dalam neraka.

Kerana itu, Allah suruh kita banyak beristighfar memohon keampunan-Nya. Terutama di dalam bulan Ramadan ini. Dan terutama sekali di dalam sepuluh hari yang terakhir ini, saudara.  Malah kita dianjurkan untuk banyak berdoa sepertimana didikan hadis Rasulullah s.a.w.:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Yang bermaksud: “Ya Allah!  Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun. Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah aku.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi).

Namun, tahukah saudara, bahawa seseorang yang mengharapkan kemaafan daripada Allah, perlu juga memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya? Jika kita tidak mahu memaafkan kesalahan orang terhadap diri kita, sedangkan orang itu sudah pun meminta maaf di atas kesalahannya, maka Allah tidak akan mengampunkan dosa-dosa kita. Sabda Nabi s.a.w.: 

اِرْحَمُوا تُرْحَمُوا، وَاغْفِرُوا يَغْفِرِ اللهُ لَكُمْ

Yang bermaksud: “Kasihilah (sesama makhluk) nescaya kamu akan dikasihi Allah, dan maafkanlah (kesalahan orang) nescaya Allah akan mengampunimu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Tabrani).

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Manusia sememangnya tidak terlepas daripada kesilapan. Namun, ia tidak menjadi penghalang buat kita untuk memaafkan saudara kita yang benar-benar menyesali perbuatan-Nya. Keengganan untuk memaafkan boleh menjadi penghalang daripada mendapatkan pengampunan Allah atas dosa-dosa yang kita lakukan. 

Memang tidak mudah untuk manusia ini memaafkan kesalahan orang lain. Namun, ketahuilah, bahawa apabila kita mahu memaafkan, dan berusaha untuk melupakan kesalahan orang, itu sebenarnya membantu mengubati jiwa kita sendiri. Dengan itu, kita menjauhi sifat berdendam dan hasad dengki, saling bermusuhan dan benci-membenci. Contohilah sifat Rasulullah s.a.w. semasa pembukaan kota Makkah. Baginda memaafkan setiap penduduk Makkah, walaupun dahulunya mereka menyakiti baginda. Tetapi sedikitpun baginda tidak berdendam. 

Saiduna Abu Bakar As-siddiq pernah ditegur Allah kerana tidak memaafkan kerabatnya yang bernama Mistoh (مسطح). Mistoh ini seorang yang tidak berharta, dan Abu Bakarlah yang bermurah hati menampung keperluan hidupnya. Satu ketika, puteri Abu Bakar yang bernama Aishah, difitnah kononnya curang terhadap suaminya, iaitu Rasulullah s.a.w. Mistoh termasuk di kalangan tiga orang sahabat Rasulullah yang terlibat menyampaikan fitnah itu di dalam masyarakat. Akhirnya Allah membersihkan nama Aishah, dan tiga sahabi itu dijatuhkan hukuman yang berat. Mereka bertaubat, dan taubat mereka diterima Allah. Tetapi Abu Bakar tidak memaafkan Mistoh. Abu Bakar malah bersumpah tidak akan meneruskan bantuannya lagi kepada Mistoh. Sikap Abu Bakar itu, bagaimanapun, ditegur Allah dengan firman-Nya di dalam Surah An-Nur, ayat 22:   

Yang bermaksud: “Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah untuk tidak memberi (bantuan) kepada kerabat(nya), orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka untuk Allah mengampunimu? Sedangkan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Setelah ditegur, Abu Bakar segera memohon pengampunan Allah, membatalkan sumpahnya dan kembali membantu kerabatnya itu. Demikianlah besarnya jiwa insan mulia bernama Abu Bakar ini. Begitu sekali hatinya dilukai, namun semarak api kemarahannya tidak dibiarkan lebih besar daripada kelembutan rahmat dan kasih sayang Allah.  

Maka saudara dan saudari sekalian, didiklah hati untuk mampu menghulurkan kemaafan, sepertimana kita sendiri selalu merayu curahan pengampunan Tuhan. Tidak perlu menunggu Hari Raya untuk saling memaafkan. Sekarang ini, dalam tempoh hari-hari terakhir Ramadan ini, ketika pintu-pintu syurga Allah sedang luas terbuka untuk hamba-hamba-Nya yang bergegas bertaubat kepada-Nya, kita lapangkan dada untuk memaafkan semua saudara dan saudari kita. Sama ada mereka tahu, ataupun di belakang pengetahuan mereka. Allah tetap Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Semoga keikhlasan kita untuk menghulurkan kemaafan menjadi di antara sebab segala dosa kita dipadam Allah, Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

 

 

a

No comments:

Post a Comment

  February 27, 2020: The Lockdown Plan Goes Public Debbie Lerman February 27th, 2020, was a very strange day. I did not know it at the time....